Empat tahun dua bulan mak membesarkan Abang. Mak selak helaian demi helaian paparan kertas dalam diari yang sedikit usang itu. Aduh! Banyak sungguh memori yang tercatat di dalamnya. Membacanya bagaikan meruntun jiwa mak kembali mengenangkan perjalanan derita Abang sejak lahir hingga menghembuskan nafas terakhir. Mata mak terpaku pada catatan peristiwa lebih kurang tiga bulan sebelum Abang pergi. Mak rasa, di sinilah terkandung jawapan yang mak cari-cari. Jawapan untuk soalan yang mereka tanya kenapa mak tidak menangis?
Mak akan bacakan sedikit rentetan diari ini supaya mereka tahu kenapa mak tidak menangis, sayang.
Januari 2011- Perut Abang semakin membusung kerana hati membengkak. kata doktor, semua organ dalaman Abang sudah rosak, sudah ‘reput’. Tidak boleh diselamatkan lagi. Tidak mengapa. Hati mak berkata, cukuplah! Tidak akan ada lagi pembedahan untuk Abang.
26 Februari 2011- Hari ini ulang tahun ke-4 abang. Dua hari sebelum itu, mak tanya, abang nak kek apa? Abang jawab, nak kek lori sampah! Hah Hah.. Tergelak mak. Abang suka sangat melihat lori sampah yang lalu setiap pagi depan rumah. Sebab itu abang nak kek bentuk lori sampah, Puas mak dan abah melilau sekitar Kuala Lumpur, tetapi tak jumpa kek macam tu. Tak ada yang sanggup buat kek macam yang Abang minta. Mak kecewa! Selama ini, mak tunaikan apa saja permintaan Abang, tapi kali ini mak gagal. Mak belikan kek coklat strawberi sebagai pengganti. Dengan perut membusung, dada berombak kerana sukar bernafas, Abang masih tersenyum dan nampak ceria melayan rakan-rakan yang datang, sama-sama menyanyikan lagu hari jadi Abang. Dan ketika itu, hati mak sudah terdetik, mungkin ini hari jadi Abang yang terakhir.
7 Mac 2011- Keadaan Abang semakin kritikal. Perut Abang semakin membesar. Abang tidak mampu untuk bergerak dan lebih banyak terbaring serta asyik sesak nafas. Mak semakin tidak tahan melihatkan keadaan Abang sebegini rupa. Mak bawa Abang ke IJN, rumah ‘kedua’ Abang sepanjang tempoh hayat Abang. Kata doktor, tiada apa yang boleh dilakukan lagi. Abang hanya menanti waktu. Mak angguk perlahan-lahan. Mak redha dengan ketentuan ilahi. Dalam hati mak juga terdetik, masa Abang sudah tidak lama lagi. Para ibu di wad tersebut asyik bertanya pada mak, macam mana dengan keadaan Abang? Mak cuma mampu untuk jawab, “Insya-Allah, Abang akan sihat!” Mak terpaksa cakap begitu pada mereka, sebab mak tidak mahu mereka semua lemah semangat jika mereka tahu Abang sudah tiada harapan lagi. Mereka pun sedang bertarung dengan ujian Allah apabila anak-anak yang dikasihi ditimpa penyakit. Jadi biarlah jawapan yang mak beri itu kedengaran manis pada telinga mereka. Pahitnya, biarlah mak sendiri yang telan.
13 Mac 2011- Hari ini merupakan hari Ahad. Mak pinta kebenaran doktor untuk bawa Abang pulang kerumah. Doktor izinkan. Biarlah Abang habiskan waktu-waktu terakhir bersama keluarga. Dan di saat-saat akhir ini, mak mahu tunaikan apa saja permintaan Abang. Di rumah, setiap hari mak akan tanya, “Abang nak apa harini?”
Mak masih ingat pada suatu pagi, abang menjawab, “Mak, Abang nak naik kereta bomba!”
Mak termenung dengar permintaan Abang. Bila abah pulang ke rumah, terus mak ajak abah keluar. Abah tanya pergi mana?
Mak jawab, “Balai bomba!”
Sampai di situ, mak meminta izin daripada pegawai bomba. Mak kata padanya, Abang teringin sangat nak merasa naik ke dalam trak bomba. Pegawai itu cuma garu-garu kepala, kemudiannya menggeleng-gelengkan kepala. Belum sempat pegawai bomba itu menjawab, lantas mak tarik baju Abang ke paras dada.
Separuh berbisik, mak beritahu pegawai itu, “Encik, ini anak bongsu saya dan hanya menanti masa untuk ‘pergi’! Benarkan saya tunaikan impian terakhirnya ini!” Bila lihat perut Abang yang buncit dan dada dipenuhi kesan parut dan jahitan, pegawai itu tidak tunggu lama. Terus dicapainya kunci, dibuka pintu salah satu trak bomba itu. Lantas dia terus dukung Abang dan letakkan Abang ke atas tempat duduk bahagian pemandu. Abang nampak gembira sangat biarpun cuma 15 minit abang di dalam trak itu. Tetapi Abang tidak perasan, ketika itu mak palingkan muka selama lima saat. Sekadar mahu mengelap titisan air mata yang mula bertakung.
Hari lain, mak tanya lagi pada abang, “Abang nak apa?”
Abang pun jawab: “Abang nak naik lori sampah!” Mak dukung Abang, tunggu depan rumah. Bila lori sampah lalu pagi itu menjalankan rutinnya mengutip sampah, Mak tahan lori itu.
“Encik, anak saya teringin naik lori ni. Boleh izinkan sebentar?” Pekerja itu tertawa mendengar kata-kata mak. Kemudian, mak angkat baju Abang dan beritahu perkara sama. Terus berubah mimik wajah mereka. Segera mereka angkat Abang, letakkan di tempat duduk pemandu. Ada antara pekerja itu yang memalingkan muka, tak sangup untuk melihat Abang lama-lama. Sedih agaknya. Begitulah seterusnya. Setiap hari, mak akan tanya pertanyaan yang sama. Kalau Abang nak tengok gajah, mak akan bawa Abang pergi zoo. Walaupun abang tak larat jalan, tak apa.
Mak dan abah tidak kisah, kami silih berganti dukung Abang. Abang pinta nak tengok burung, mak bawa Abang ke taman burung. Abang nak main permainan robot, mak bawa ke kompleks beli-belah yang ada permainan seperti itu. Ke mana saja Abang nak pergi dan apa sahaja yang Abang inginkan, semuanya mak tunaikan! Setiap hari juga mak tanya Abang nak makan apa. Macam-macam Abang teringin nak makan. Murtabak, nasi paprik, milo ais, cendol, air tebu, air bandung, rojak dan macam-macam lagi, semuanya mak tunaikan walaupun makanan itu Abang pinta pada pukul 3.00 pagi.
Mak tahu dan faham, masa Abang bersama mak dan abah semakin suntuk!
27 Mac 2011- Abang semakin kritikal! Abang sudah tidak mampu untuk berkata-kata, apatah lagi untuk bergerak seperti biasa. Mata Abang kuyu dan Abang hanya mampu terbaring sambil memeluk Aina, anak patung kesayangan Abang. Mak segera pinta abah bawa Abang ke hospital.
“Kali ini kita bawa abang ke IJN, tapi kita mungkin akan keluar dengan tubuh abang yang sudah tidak bernafas!” Itulah kata-kata mak pada abah sebelum bertolak ke IJN. Mak mahu abah bersedia dan redha jika apa-apa berlaku. Sampai di IJN, abang terus ditempatkan di wad khas untuk pesakit kritikal.
5 April 2011- Mak telefon sekolah asrama Kakak sulung di Seremban. Mak minta pelepasan daripada cikgu untuk benarkan Kakak pulang.
“Adik tenat. Saya mahu kakak-kakaknya berada di sampingnya pada saat terakhir!” Mak pinta pada cikgu dan Kakak diizinkan pulang. Kemudian, Dr. Adura, doktor yang sinonim merawat abang juga datang melawat. Ketika itu mak ceritakan yang mak terkilan sangat tidak dapat tunaikan permintaan Abang yang mahukan kek berbentuk lori sampah.
7 April 2011- Pagi ini Dr. Adura datang melawat Abang lagi. Kemudian Dr. Adura beritahu adasurprise untuk Abang tengah hari ini. Rupa-rupanya, tengah hari itu tetamu yang juga rakan-rakan alam maya Dr. Adura datang membawa kek lori sampah yang Abang mahukan sebelum ini. Ada dua kek mereka bawa. Mak tak sangka, Dr. Adura rajin menulis mengenai kisah abang di dalam blognya dan ramai yang menawarkan diri untuk menyediakan kek yang abang pinta. Para tetamu bersama jururawat dan doktor menyanyikan lagu selamat ulang tahun untuk Abang. Tetapi abang kurang ceria, wajah Abang tampak letih dan nafas abang turun naik.
8 April 2011- Tengah hari ini, masih ada lagi tetamu datang membawa kek berbentuk lori warna pink untuk abang. Tetapi abang sangat lemah. Abang sekadar terbaring merenung kek itu. Malam itu, semasa jururawat mengambil tekanan darah Abang, bacaanya meningkat naik. Tetapi hati mak dapat merasakan yang Abang sekadar mahu meredakan keresahan hati mak. Malam itu, hanya mak berdua dengan Abang berada di dalam bilik. Mak pandang sayu wajah abang yang semakin lesu dan pucat. Mak duduk di sebelah Abang, mak peluk dan usap rambut Abang. Mak menangis teresak-esak bagai anak kecil.
Dalam tangis itu, mak katakan pada Abang, “Mak tahu Abang nak senangkan hati mak. Abang tak perlu buat macam tu. Mak tahu Abang nak pergi. Jangan tahan-tahan Abang. Pergilah menghadap Ilahi. Mak sudah sedia. Mak redha segalanya. Mak puas dapat sempurnakan apa sahaja hajat yang Abang pinta. Mak juga bangga kerana Allah hadirkan Abang dalam hidup mak walaupun seketika.”
Abang hanya diam, memandang mak dengan pandangan lesu. Dan ketika itu mak menangis sepuas-puasnya. Mak juga berjanji bahwa mak tidak akan menangis lagi selepas itu! Ya, mak tidak akan menangis lagi biarpun abang sudah tiada lagi di dunia.
9 April 2011- Pagi itu mak pesan pada abah agar bawa semua anak-anak datang ke hospital. Masa Abang dah dekat sangat. Mak lihat Abang sudah kritikal. Wajah Abang sudah tampak biru, lebam! Dada Abang berombak, tercungap-cungap menarik nafas.
Abang sudah tidak mahu makan dan minum lagi sejak malam tadi. Pukul 8.00 pagi, abah dan kakak-kakak sampai. Mak suruh Kak Long bacakan Yaasin di sebelah Abang. Mak suruh abah baca juga, tapi bacaan abah tersekat-sekat kerana cuba menahan tangisnya.
Pukul 3.00 petang, Abang semakin lesu. Lantas mak ajak Abang keluar berjalan-jalan.
“Abang, abang nak tengok matahari tak? Jom kita turun kantin minum sambil tengok matahari!”
Abang hanya mengangguk lemah. Mak dukung Abang dan kita satu keluarga turun ke kantin. Abang mahu minum air coklat. Tapi Abang hanya minum seteguk. Kemudian, Abang lentukkan kepala pada bahu mak.
“Abang, tu tengok kat luar tu? Nampak tak sinar matahari tu? Cantikkan?” Mak tunjuk pada abang sinar matahari yang kelihatan di celah-celah rintik hujan yang turun waktu itu. Abang angkat kepala melihat ke arah matahari itu. kemudian, abang menguap.
“Abang ngantuk!” Itu kata Abang dan kemudian abang terlentuk semula pada bahu mak. Tiba-tiba jantung mak berdegup kencang. “Bang, jom naik. Abang nak ‘tidur’! Mak terus ajak abah dan kakak-kakak naik semula ke wad walaupun mereka belum sempat jamah makanan di atas meja.
Sampai sahaja di wad, mak terus baringkan Abang di atas katil.
Dan Abang terus merintih dalam nada yang lemah, “Makkk..sakit perut..!”
Suara Abang amat perlahan dan amat sayu bunyinya. Lantas mak letak tapak tangan mak atas dahi Abang.
“Abang, hari ini, waktu ini, mak redhakan Abang pergi. Mak halalkan segala makan minum Abang. Mak halalkan air susu mak untuk Abang. Pergilah Abang. Mak izinkan Abang pergi!” Mak ucapkan kata-kata itu sambil merenung jauh ke dalam mata Abang yang semakin kuyu. Saat Abang sedang nazak itu, mak panggil kakak-kakak agar mengucup Abang selagi Abang masih bernafas. Mereka kucup pipi Abang bertalu-talu dan mula meraung dan menangis.
“Kakak! Kalau kamu semua nak menangis, keluar dari bilik ini. Mak tak mahu Abang dengar kamu menangis! Jangan seksa Abang dengan tangisan kamu semua!” Mak marah mereka. Mak tidak mahu Abang lihat kami menangisi pemergian Abang. Mak tahu, Abang akan jadi lebih sedih dan berat hati untuk pergi bila melihat kami menangis di saat akhir sakaratulmaut menjemput Abang. Mak tidak mahu tambahkan lagi kesedihan Abang untuk meninggalkan kami. Abah pula hanya berdiri di penjuru bilik, meraup wajah menahan suara tangisannya. Jururawat yang ada dalam bilik juga menangis, mak suruh jururawat keluar dan tutup tirai bilik itu. Mak tak mahu orang luar lihat. Mak tak mahu ada orang menangis di saat Abang akan pergi. Setitis dua mengalir juga air mata mak. Tapi mak masih mampu tersenyum.
“Pergilah Abang. Mak izinkan. Mak izinkan.. pergilah..”
Dan perlahan-lahan mata abang yang layu tertutup rapat, genggaman tangan Abang pada jari mak semakin lemah dan akhirnya terlepas…
Pukul 3.50 petang, akhirnya Abang meninggalkan dunia fana ini. Innalillahiwainnailahirajiun.
Mak kucup dahi Abang. Mak bisikkan di telinga Abang, “Tenanglah Abang di sana. Suatu hari nanti, mak juga pasti akan turuti jejak Abang. Abang… tunggu mak di sana ya! Di syurga!”
Abang, sekarang mak sudah dapat jawapanya. Mengapa mak tidak menangis? Pertama, Abang telah di takdirkan menjadi ahli Syurga yang akan membantu mak di sana nanti. Kedua, apa saja keinginan Abang semasa hayat abang telah mak tunaikan. Tiada lagi rasa terkilan di hati mak. Ketiga, segala hutang sebagai seorang ibu telah mak langsaikan semasa hayat Abang. Mak telah sunatkan dan buat akikah untuk Abang. Keempat, mak telah menjalankan tanggungjawab sepenuhnya, sentiasa berada di sisi Abang dan menggembirakan Abang setiap saat dan waktu. Kelima, mak rasa istimewa dipilih Allah untuk mendapat anak seperti Abang. Mak jadi ‘kaya’ dengan kehadiran Abang. Kaya kesabaran, kaya tawadhuk, kaya keredhaan, kaya keimanan, kaya kawan, kaya ilmu, dan kaya pengetahuan. Mak telah beri segala-galanya melebihi seratus peratus untuk Abang. Mak telah beri yang terbaik dan mak telah berusaha hingga ke garisan penamat. Sebab itu mak tidak perlu menangis lagi.
Abang.. biarpun kini hidup mak dan abah terasa sunyi dan kosong tanpa Abang tapi… mak akan sentiasa tersenyum mengenangkan saat-saat terindah kehadiran Abang dalam hidup kami biarpun cuma sebentar.
Abang dalam kisah ini adalah adik Iqbal Fahreen Hamdan, anak bongsu daripada lima beradik. Abang masuk hospital seawal usia dua minggu akibat menghidapi lima jenis kompilasi jantung termasuklah kekurangan injap, jantung berlubang dan saluran sempit. Abang telah menjalani pelbagai siri pembedahan seawal usia dua bulan dan ada antara pembedahannya yang gagal, malah abang pernah disahkan ‘mati’ apabila jantungnya berhenti berdenyut. Walaupun pada awalnya doktor mengjangkakan hayat abang tidak lama selepas lahir ke dunia, namun ternyata anak kecil ini mampu bertahan sehingga usia empat tahun untuk meninggalkan kenangan terindah dalam hidup Jamilah (ibu) dan Hamdan (bapa).
Al-Fatihah buat Allahyarham adik Iqbal Fahreen.
Sebuah kisah benar menyayat hati yang melambangkan kasih sayang seorang ibu kepada anaknya
Dicopy dan paste daripada: http://kerangs.net
Thursday, August 18, 2011
“Abang Tunggu Mak di Syurga Yer…”
Posted by wanjazmi at 12:08 AM 0 comments
Tuesday, August 16, 2011
Saya Tahu Saya Tak Cantik
"Phewittt! Yo! Aweks cun lalu lah. Wahhh!! Comelnya dia. Perghh!! Dia jeling! Assalamualaikum boleh abang nak kenal?" usik sekumpulan budak nakal yang tak pergi solat Jumaat, tapi bangga kemain dekat kedai makan sambil 'phewit phewit' awek yang lalu lalang sambil ketawa berdekah-dekah.
"Ha! Artis Korea ni cute sangat-sangat! Very love her! Nak jadi macam dialah. Kenapa dia lawa aku tak lawa? Semua baju dia pakai semua nampak cantik. Ishhhh... jelesnya aku!", bentak seorang gadis sambil menatap sebuah majalah hiburan yang terkenal.
KECANTIKAN : DI MANA NILAINYA?
Manusia sememangnya hidupan yang pelik, istilah kecantikan didefinasikan kepada pelbagai. Kalau di Iran, wanitanya begitu obses dengan hidung yang dibedah, atau di Mauritania di mana wanita gemuk dianggap seksi dan mengghairahkan. Bagaimana dengan masyarakat kita sendiri pula?
Tidak perlu mempunyai hidung yang mancung seperti paruh seludang, atau wajah yang sesempurna Aishwarya Rai. Cukup dengan berpakaian tapi seolah-olah "bertelanjang" dan mengenakan kain ela yang pelbagai untuk menutupi kepala, itu cantik namanya.
Minta maaf bukan hendak memperlekehkan kecantikan plastik wanita, itu realiti yang telah lama bertapak dalam mentaliti masyarakat kita. Tipikal? Tiada siapa yang boleh menafikannya.
Pada saya kecantikan ialah bagaimana mata mereka yang memandang itu mentafsirnya. Lebih tepat, pandangan orang lain terhadap fizikal kita. Betul! Dan saya pernah membuat eksperimen sendiri dengan mengajak adik-adik lelaki saya untuk memilih artis wanita yang mereka rasakan tercantik.
Hasilnya seperti diduga, setiap daripada mereka memilih artis wanita yang berlainan. Bila saya tanya kenapa pilihan masing-masing yang terbaik, semua sibuk memberikan seribu satu alasan yang tidak boleh diterima oleh akal saya.
Lihat! Bukankah itu bukti yang nyata bahawa kecantikan itu terlalu besar skopnya untuk diperjelaskan kepada umum? Apa yang cantik di mata saya atau anda, tidak semestinya akan cantik pada pandangan orang lain juga.
Persoalannya, adakah apa yang kita ada sekarang ini bukan yang terbaik? Adakah Allah itu zalim dan pilih bulu dengan memberi sesetengah daripada kita wajah yang cantik manakala setengah lagi fizikal yang tidak sempurna?
Bukankah Allah itu Maha Adil? Bukankah Allah itu Maha Mengetahui? Bukankah Allah itu Maha Bijaksana? Jika begitu mengapa ada sesetengah daripada kita masih meratapi kekurangan yang ada pada diri masing-masing?
SAYA TAHU SAYA TAK CANTIK
Saya tahu saya tidak cantik.. Tapi, walaupun saya tidak cantik, saya tetap ada kelebihan..
Kerana saya tidak cantik, saya tidak jadi mangsa gangguan lelaki-lelaki yang rosak akhlaknya.
Kerana saya tidak cantik, saya dapat pelihara diri saya daripada pandangan bernafsu lelaki yang tidak menjaga pandangannya.
Kerana saya tidak cantik, saya selamat daripada menjadi senjata iblis mencairkan iman lelaki.
Kerana saya tidak cantik, saya tidak mendapat fitnah dan cemburu daripada wanita-wanita lain.
Kerana saya tidak cantik, saya tidak mengharapkan pujian daripada mana-mana lelaki dan wanita.
Dan kerana saya tidak cantik, akhirnya saya menemui insan yang ikhlas mencintai saya seadanya.
Kerana saya tahu.. Saya tidak cantik pada pandangan manusia.. Maka saya akan berusaha agar kelihatan cantik pada ALLAH.. Kerana bukan kecantikan dunia yang saya kejar... Tapi KECANTIKAN di akhirat kelak..
ANGGUN DI MATA ALLAH : SEBUAH KECANTIKAN SEJATI
Kecantikan terdiri dari 2 jenis; kecantikan lahir dan kecantikan batin.
Kecantikan batin (inner beauty) adalah kecantikan yang dicari kerana essensinya, seperti kecantikan ilmu, akal fikiran, dan kesucian diri. Kecantikan batin inilah yang merupakan titik pandang Allah pada diri hamba-hamba-Nya.
Sebagaimana yang disebutkan dalam sebuah hadis:
"Sesungguhnya Allah tidak melihat pada rupa dan postur tubuh kalian. Akan tetapi, Allah melihat pada hati kalian." (HR. Muslim).
Sebenarnya kita semua adalah makhluk ciptaan-Nya yang paling sempurna dan cantik di muka bumi ini. Allah telah menentukan sesuatu sifat dalam diri kita adalah yang terbaik. Hanya mata kita sahaja yang diselaputi dengan nafsu yang tidak dapat melihat kebaikan yang ada pada sesuatu kejadian.
Mengapa sukar bagi kita untuk redha kepada kejadian Allah? Bukankah periuk orang lain sentiasa putih daripada apa yang kita ada? Kita sentiasa melihat apa yang ada pada orang lain itu jauh lebih baik daripada apa yang kita miliki.
Sedangkan nabi Muhammad S.A.W sendiri telah menasihatkan kita agar melihat orang yang kurang bernasib baik. Jangan melihat orang yang lebih bertuah kerana itu akan membuatkan kita tidak bersyukur. Dan itulah masalahnya pada diri kita. Kita sentiasa mengejar yang sempurna dalam kehidupan seharian. Sentiasa mahukan yang lebih bagus daripada orang lain.
Kita ada biduk, tetapi dalam masa yang sama berkehendakkan serempu pula. Tidak terkecuali dengan saya. Siapa yang tidak suka mendengar pujian melangit kerana cantik, bukan?
Ketika zaman bersekolah, semuanya kena bersaing atau sekurang-kurangnya sama dengan kawan-kawan. Pakai baju ketat, seluar sendat, dari tudung sehinggalah kepada kasut, kalau boleh semua mengikut peredaran fesyen. Pendek kata melaram berlebihan. Cuba bayangkan betapa banyak dosa yang terpaksa saya tanggung semata-mata untuk kelihatan trendy seperti itu? Syukurlah kesedaran datang sebelum lebih banyak dosa terkumpul.
Sekarang ini nak pergi mana pun, satu yang sentiasa perlu tanamkan dalam kepala adalah "bersederhana dalam berfesyen". Cukup dengan hanya menempel "wudhu'" di wajah, bertudung dan tidak memakai pakaian ketat yang menonjolkan bentuk badan.
Untuk itu, mari kita belajarlah untuk berkata Alhamdulillah dengan apa yang ada pada diri kita. Sedarlah, kecantikan bukan terletak pada secantik mana fizikal kita dilihat oleh mata orang lain, atau 'setrendy' mana pakaian yang telah membaluti tubuh masing-masing. Tetapi secantik mana kita di mata Allah.
- Artikel iluvislam.com
Posted by wanjazmi at 5:09 PM 0 comments
~KEPULANGAN~
Sinar Secebis Harapan
"Alhamdulillah."
Hanya itu yang mampu diucapkan oleh jejaka muda tersebut. Syukur dan lega. Itulah perasaan yang mula menapak dalam dirinya kini. Langit luas yang gemilang itu ditatapnya puas-puas. Tidak pernah dia melihat langit sebiru itu sepanjang 23 tahun dia bernafas di bumi milik Allah ini. Langit pada hari inilah yang paling biru dan paling cerah pada matanya. Maha Besar Allah yang menciptakan segala yang ada di langit mahupun di bumi.
Kembalinya dia kali ini untuk membawa sebuah perubahan besar kepada seluruh ahli keluarganya. Pulangnya kali ini adalah untuk yang terakhir kalinya. Sudah tidak mungkin ada lagi kepulangan untuk kali kedua, ketiga, mahupun yang seterusnya. Itulah yang terakhir dan itulah azamnya. Dipahatkan sekukuhnya di dalam hatinya yang kini sudah diperbaharui.
Setiap langkah anak muda itu menarik perhatian seluruh mata yang kini tertumpu kepadanya. Ada yang sudah mula berbisik-bisik sesama sendiri. Ada juga yang memandangnya dengan penuh rasa dendam dan jijik. Namun, pemuda tinggi tersebut masih berjalan seperti biasa. Seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku.
"Hai orang-orang kampung! Lihatlah siapa yang datang. Dia sudah kembali. Superman sudah kembali!" Riuh sekali suara Pak Mail menyambut kepulangan Syazwan. Berderai tawa orang-orang kampung yang sedang melepak di warungnya apabila nama Superman itu timbul kembali.
Syazwan hanya tersenyum hambar. Sedikit tercuit hatinya tatkala mengenangkan kisah Superman itu. Memori pahit yang telah banyak mengubah dirinya itu masih segar lagi di ingatannya. Masih dia ingat suatu ketika dahulu bagaimana nyawanya hampir sahaja melayang apabila dia terjun daripada bangunan lima tingkat itu. Bangunan yang tertinggi sekali di kampung itu. Apa puncanya? Ketagihan. Itulah puncanya.
Syazwan memang cukup dikenali di kampung itu. Bukan sahaja di kampung itu, malah di kampung seberang juga. Di bandar juga namanya sudah mula naik. Gelaran 'Penagih tegar' sudah sah menjadi miliknya apabila berkali-kali dia kembali ke pusat serenti yang sama. Hampir saja Syazwan dihalau kerana para pekerja di pusat itu sudah bosan melihat muka yang sama setiap kali, tetapi kali ini Syazwan sudah benar-benar berubah. Duduk di pusat serenti yang sama dan hidup dengan rutin yang sama selama bertahun-tahun benar-benar membuatkan dia serik.
Sungguhpun begitu, dia tetap bersyukur kerana baginya, jejaka yang terpilih untuk masuk ke pusat itu adalah insan yang bertuah. Insan yang dikasihi Allah, kerana kasihnya Allah pada dialah dia dimasukkan ke pusat itu berkali-kali. Dihantarkan dirinya ke tempat itu berkali-kali bukan di atas alasan yang sia-sia. Dia dihantar ke tempat itu untuk mengubah diri. Untuk memperbaharui hati, untuk memperbaharui Iman, untuk memperbaharui segala-galanya.
Di pusat itu, Syazwan diajar bermacam-macam perkara. Dia belajar bertukang, dia belajar menjahit, dia belajar segala-galanya. Apa yang paling penting ialah dia belajar mengenali dirinya. Dia belajar mengenali agamanya. Dia belajar mengenali Penciptanya. Dia belajar mengenali Allah. Allah yang sungguh mengasihi insan-insan bertuah sepertinya.
"Assalamualaikum..." ucapan lembut itu diiringi oleh senyuman manis yang mula menguntum di bibirnya.
"Waalaikumussalam..." salam yang dihulurkan oleh pemuda itu disambut beramai-ramai. Seolah-olah sedikit menyindir nadanya. Namun begitu, Syazwan tetap tersenyum mesra. Dia bukan Syazwan yang dahulu lagi. Dia bukan lagi Syazwan yang ego dan pemarah. Dia kini sudah menjadi insan yang serba baru. Dia kini lebih penyabar, Allah sentiasa ada di hatinya.
"Hai Wan... hidup lagi kau rupanya. Alhamdulillah... nasib baik kau tak mati waktu kau nak terbang hari tu. Aku dah cakap. Kalau ilmu tak cukup, jangan cuba nak terbang. Patutnya, dadah tu, kau sedut banyak-banyak. Baru ada kick. Baru dapat terbang, taklah jatuh macam hari tu."
Berderai lagi tawa orang kampung apabila Pak Mail sudah mula membuat lawak tidak masuk akal yang sedikit sebanyak menyinggung hati Syazwan. Syazwan hanya mampu beristighfar panjang. Dia cuba untuk terus bersabar. Dia sudah dapat melihat Syaitan-Syaitan di sekelilingnya yang bersedia untuk menarik kesabaran itu bila-bila masa sahaja. Cepat-cepat dia mengingati Allah. Jangan sampai dia hilang sabar lagi kali ini.
"Assalamualaikum Ustaz. Lama dah tak jumpa Ustaz." Perlahan Syazwan menegur Ustaz Zamri yang sedari tadi hanya mendiamkan diri. Sesekali dia tersenyum.
"Waalaikumsalam... duduklah dulu Wan." Ustaz Zamri mempelawa Syazwan dengan penuh sopan dan hormat. Status Syazwan sebagai bekas penagih, langsung tidak mengubah sikapnya terhadap Syazwan. Syazwan tetap mendapat tempat yang istimewa di hatinya. Entah mengapa, tetapi, itulah hakikatnya. Dia begitu sayang akan anak muda itu. Kasih yang dihadirkan Allah ke dalam hati tua itulah yang membantu Syazwan untuk terus hidup dan bertahan sehingga ke hari ini.
Syazwan melabuhkan punggungnya di sisi Ustaz Zamri. Tangan tua itu disalami kemudian diciumnya. Direnungnya wajah suci yang sudah dimamah usia itu. Selama ini, wajah itulah yang selalu ada di sisinya di saat dia benar-benar tersiksa. Wajah itulah yang seringkali dia lihat ada di sisinya di saat dia tersedar daripada kemabukan. Wajah itu, wajah yang tidak pernah dia lupakan di saat dia berada di pusat tersebut. Sungguh dia kasih akan pemilik wajah itu.
"Apa lagi kali ni, Wan? Datang untuk kembali lagi ke tempat tu? Atau datang untuk terus tinggal di kampung ni?" Sedikit keras nada Ustaz Zamri kali ini. Syazwan hanya terdiam. Dia tidak hairan jika Ustaz Zamri marah akannya. Ustaz Zamri sudah banyak menanggung susah kerananya dahulu.
"Aku bukan nak marahkan kau, Wan. Aku ni, dah lama jaga kau. Sejak bapak kau dah tak ada lagi. Aku sayang dengan kau macam aku sayang dengan anak aku sendiri. Anak aku si Rosyam tu. Dah lama pergi tinggalkan aku. Kau sajalah anak yang aku ada sekarang ni. Pulangnya kau kali ni, aku harap untuk selamanya." Nada keras tadi mula kedengaran sedikit kendur.
"Ustaz, Wan dah taubat. Wan dah tak nak ambil benda tu lagi. Wan dah tahu macam mana siksanya dan Wan dah betul-betul serik. Wan janji, Wan janji pada Ustaz, lepas ni Wan takkan dekati benda tu lagi. Wan janji!"
Di dalam kesedihan itu, ada kesungguhan yang meyakinkan Ustaz Zamri akan janji yang diucapkan oleh Syazwan yang telah dia anggap seperti anaknya sendiri. Ustaz Zamri menepuk perlahan bahu Syazwan tanda kepercayaan serta keyakinannya terhadap setiap ucapan yang keluar dari mulut anak muda itu.
"Hei Wan! Kau nampak tak longkang besar kat depan tu? Nampak? Kau ambil janji kau tu tadi, lepas tu kau humban kat dalam longkang tu. Longkang jijik macam tu lah tempat yang paling sesuai untuk janji orang macam kau ni! Tak boleh pakai sikit pun!" Keras sekali suara Pak Mail ketika menuturkan kata-kata tersebut. Dia memang sangat benci akan Syazwan. Pantang ada kesilapan sedikit, pasti Syazwan akan dihentamnya cukup-cukup.
Syazwan hanya mendiamkan diri. Kepalanya ditundukkan. Ada air mata suci menitik lewat mata yang sudah kemerahan itu. Hatinya sedih. Sedih sekali kerana kata-kata Pak Mail yang terang-terang menghinanya. Orang-orang kampung yang sedari tadi asyik ketawa turut mendiamkan diri. Terkesan oleh mereka keterlampauan dalam kata-kata yang dituturkan oleh lelaki yang sememangnya terkenal dengan mulutnya yang berbisa. Bisanya mengalahkan mulut perempuan.
Ustaz Zamri segera membawa Syazwan pergi dari tempat itu. Dia sendiri sudah tidak kuasa untuk mendengar celoteh lelaki separuh abad itu. Sudah berbuih mulutnya menasihati orang tua tersebut, namun dia masih tidak mahu berubah. Masih dengan sikapnya yang selalu menghina serta mendiskriminasi jejaka-jejaka muda seperti Syazwan, meskipun pada hakikatnya, dia sepatutnya membantu insan-insan yang mahu berubah seperti Syazwan, bukan malah mematahkan semangatnya. Ustaz Zamri hanya mampu memohon dan meminta pada Allah agar dilembutkan hati sahabatnya itu untuk menerima Syazwan kembali.
Mereka berdua segera menuju ke masjid yang terletak tidak jauh dari warung Pak Mail. Ada kewajipan yang harus dilaksanakan. Kewajipan terhadap Sang Pencipta. Usai solat Zuhur, Ustaz Zamri terus menoleh ke arah Syazwan yang masih mendiamkan diri di sebelahnya. Dilihatnya bibir berwarna gelap itu terkumat-kamit. Ustaz Zamri tersenyum senang. Sesungguhnya, dia tidak pernah meragui kata-kata anak muda itu.
Dia tahu bahawa Syazwan kini sudah benar-benar berubah. Dia yakin. Dia yakin bahawa masih ada secebis harapan buat anak muda itu. Kini, segala-galanya terserah pada dirinya. Dia yang akan memberi sinar kepada harapan itu agar terang di mata Syazwan nanti. Setiap malam, Ustaz Zamri tidak pernah sekalipun lupa untuk mengutus doa kepada Allah buat Syazwan. Doanya agar Syazwan sentiasa diberikan ruang dan kasih di sisi-Nya. Agar Syazwan sentiasa dikuatkan hati untuk bertahan dan terus berubah.
"Wan, aku tahu kau betul-betul dah berubah. Aku yakin pada kau, Wan. Aku berikan seluruh kepercayaan aku pada kau. Jangan kau khianati kepercayaan yang aku berikan itu. Aku tahu masih ada harapan buat kau. Jangan kau jadikan sinar harapan yang terang itu sirna. Percayalah, Wan. Allah masih sayangkan kau." Kata-kata itu benar-benar membuatkan Syazwan tersentuh. Hanya Allah yang tahu betapa dia bersyukur kerana masih ada saudara semuslim yang kasih dan percaya akannya di saat seluruh dunia menentangnya. Dipeluknya erat-erat susuk tua itu. Betapa kasih seorang ayah kuat dia rasakan dalam diri lelaki tua tersebut.
"Mari kita pulang, Wan. Isteri aku dah lama menunggu kita di rumah. Dia pun rindu nak jumpa kau Wan." Perlahan Ustaz Zamri menuturkan kata-kata tersebut.
......................................................................
Dahulunya, Mak Nab langsung tidak ada bezanya dengan orang-orang kampung yang lain. Dia juga benci akan Syazwan. Namun, sikap sabar Ustaz Zamri dalam mendepani karenah isterinya itu benar-benar telah melembutkan hati Mak Nab yang turut dibutakan oleh Syaitan yang sentiasa berusaha untuk memecahbelahkan umat manusia. Syazwan kini dianggap seperti anaknya sendiri. Anak yang dihadirkan Allah untuk menggantikan tempat Rosyam yang telah lama pergi meninggalkan dia dan suaminya. Mak Nab menerima Syazwan apa adanya dia.
......................................................................
Pagi itu, kampung riuh rendah kerana berlaku kekecohan di masjid. Ustaz Zamri terkejut besar apabila melihat Syazwan dipukul dan disepak oleh orang-orang kampung. Dia segera menuju ke tempat kejadian. Langkahnya yang sudah agak terhencut-hencut cuba dilajukan. Berlinang air matanya melihat anak muda itu dipukul sebegitu rupa. Sebagai seorang insan yang telah lama hidup bersama Syazwan, dia turut merasakan kepedihannya ketika itu.
"Astaghfirullahalazim! Berhenti! Berhenti! Apa kena dengan kamu semua ni?! Apa salah budak ni yang kamu semua beria-ia memukulnya?! Dia baru saja pulang semalam. Kamu semua dah nak bunuh dia pulak hari ni?!" Keras sekali nada Ustaz Zamri. Sungguh sakit hatinya melihat Syazwan yang dipukul separuh mati. Lebam seluruh badannya. Ada darah merah mengalir lewat kepala yang luka akibat dihentam teruk dengan kayu.
"Dia ni bawa bala, Ustaz. Duit tabung masjid semua dah hilang. Mesti dia yang curi! Almaklumlah nak mintak duit dengan Ustaz untuk beli benda itu, dia segan. Sebab itu dia mencuri! Kita hantar saja dia ni ke balai Ustaz! Baru saja sampai dah berani buat onar. Memang patut mati saja dulu. Hidup pun menyusahkan orang!" Kata-kata keras itu diiringi oleh satu ludahan kasar. Tepat mengenai muka Syazwan.
"Mana kau orang tahu dia yang curi? Siapa yang pandai-pandai menyebar fitnah ni? Ada orang nampak ke?" Sakit sungguh hati Ustaz Zamri apabila Syazwan difitnah sebegitu.
Ustaz Zamri segera membantu anak muda yang sudah lemah itu. Serban yang ada di kepalanya ditanggalkan. Dilapnya darah yang sudah mengalir deras lewat luka yang agak dalam itu.
"Kita orang bukan cakap sembarangan, Ustaz. Kita orang ada bukti. Lepas solat subuh tadi, dia seorang saja yang ada dekat masjid ni! Siapa lagi yang curi kalau bukan dia Ustaz? Siapa lagi?!" Orang kampung terus-menerus membentak dan membantah setiap hujah-hujah pembelaan yang diutarakan oleh Ustaz Zamri. Kini, kebencian mereka terhadap 'Mat gian' seperti Syazwan semakin memuncak. Jika Ustaz Zamri tidak datang tepat pada masanya, sudah pasti jasad Syazwan yang dipukul teruk itu tidak bernyawa lagi.
"Selagi tidak ada mata yang melihat Syazwan mencuri duit tersebut, selagi itulah kamu semua tidak berhak untuk menuduhnya. Aku tahu, Syazwan memang pernah melakukan kesilapan suatu ketika dahulunya. Oleh sebab itu, kamu semua hilang kepercayaan terhadapnya. Tapi, sekarang dia sudah berubah. Dia bukan lagi Syazwan yang kamu kenal dahulu. Berilah peluang kepadanya untuk berubah. Bantulah dia. Maafkan dia. Sedangkan Nabi pun ampunkan umat, apalagi kita semua, manusia yang sentiasa melakukan kesilapan."
Ustaz Zamri mengalirkan airmata penyesalan. Dia menangis di atas segala kelemahannya yang tidak mampu untuk membantu mereka semua mengubah persepsi terhadap Syazwan. Dia menangis di atas kegagalannya untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang Muslim. Dia menangis kerana dia gagal untuk membantu Syazwan sendiri, anak muda yang telah diamanahkan kepadanya suatu ketika dahulu.
......................................................................
Sebulan berada di hospital, benar-benar membuatkan hidup Syazwan tidak keruan. Dia tidak biasa duduk-duduk sahaja tanpa berbuat apa-apa. Dia ingin sekali kembali ke kampung untuk menolong Ustaz Zamri mengajar anak-anak kecil mengaji di masjid. Syazwan pemuda yang lembut hati. Anak-anak kecil di kampung itu sangat suka akannya. Sungguh pandai Syazwan melayani karenah mereka sehingga mereka sanggup mengikut Syazwan walau ke manapun dia pergi, tetapi, itu semua sudah berlalu.
Sejak dia terperangkap di lembah hina yang tidak berpenghujung itu, tidak ada sesiapapun yang sanggup meletakkan anak-anak mereka di bawah jagaan Syazwan lagi. Mereka tidak mahu anak-anak mereka mengikut jejak langkah Syazwan. Menjadi 'Penagih' dan 'Sampah masyarakat' yang tidak selayaknya hidup di muka bumi ini. Itulah tanggapan mereka terhadap Syazwan sejak Syazwan mula aktif dalam aktiviti terkutuk tersebut. Ustaz Zamri turut terkena tempiasnya. Orang-orang kampung juga sudah mula memandang serong terhadapnya kerana dia rajin sekali membantu pemuda itu.
Syazwan sememangnya pemuda yang baik sejak dari dulu lagi. Semua orang kampung cukup sayang akan Syazwan. Status Syazwan sebagai anak yatim tidak pernah menjadikan dirinya hina pada pandangan mata orang kampung. Cuma, itulah kata orang. Andai sudah terjerat dengan 'benda itu' tidak mungkin ada jalan keluar yang mudah. Buktinya, Syazwan sendiri. Sudah hampir lima kali dia keluar masuk pusat serenti akibat ketagihannya yang tidak terlawan. Betapa Syazwan tersiksa di waktu itu yang pada waktu seperti itu, tidak ada seorang pun yang sanggup menghampirinya kecuali Ustaz Zamri. Dengan penuh kesabaran, Ustaz Zamri cuba membawa Syazwan kembali semula ke pangkal jalan. Ke sana, ke sini Ustaz Zamri mengejar Syazwan yang pada ketika itu sering melarikan diri kerana otaknya yang sudah terganggu kesan daripada dadah yang telah banyak membunuh anak-anak muda di kampung itu.
Mengalir air mata Syazwan apabila teringat akan kisahnya bersama Ustaz Zamri dahulu. Masih dia ingat bagaimana bersungguhnya Ustaz Syazwan memandikannya ketika dia tengah benar-benar 'gian'. 'Gian' sehingga tidak tertolong lagi. Betapa kasihnya Ustaz Zamri kepadanya sehingga dia sanggup berulang-alik ke rumah Syazwan bagi memastikan solat lima waktu Syazwan sentiasa penuh. Setelah itu, Ustaz Zamri sendiri akan membimbing Syazwan ketika membaca Al-Quran. Hampir setiap hari Ustaz Zamri mengulangi rutin yang sama. Tidak pernah sekalipun Syazwan mendengar rungutan keluar daripada bibir yang sentiasa mengucapkan kata-kata peringatan kepadanya dan seluruh umat Islam yang berjemaah di masjid kampungnya.
"Semoga Engkau menempatkan Ustaz Zamri dalam kalangan orang-orang yang berjaya di Akhirat kelak. Tempatkanlah dia di Syurga-Mu Ya Rabb. Rahmati dan berkatilah dia serta seluruh ahli keluarganya."
Mengalir air mata penyesalan Syazwan tatkala dia memanjatkan doa tersebut. Tangan kanan dan kaki kirinya sudah patah akibat terlalu teruk dipukul oleh orang-orang kampung. Sungguhpun begitu, dia tidak sedikitpun menyalahkan orang-orang kampung kerana orang yang hina dan tidak berguna sepertinya sudah selayaknya diperlakukan sebegitu rupa. Andai hukuman seperti itu mampu mengubahnya, dia rela.
......................................................................
Malam itu, usai solat Isya' di masjid, Syazwan masih tidak berganjak dari tempat duduknya. Dia ingin duduk lebih lama di masjid itu. Sudah hampir sebulan dia tidak ke masjid itu. Rindu sekali dia akan rumah Allah itu. Begitu sejuk dan menenangkan. Hatinya senang berada di situ.
Jam sudah menunjukkan tepat pukul 12 tengah malam. Syazwan bersiap-siap untuk pulang ke rumah. Al-Quran yang telah dibaca tadi diletakkan semula ke tempat asalnya. Dia merenung lelangit masjid itu seketika. Terniat juga di hatinya untuk membaiki bumbung yang sudah bocor di sebelah kanannya.
"Mungkin esok sahaja. Sudah agak lewat sekarang. Pasti Ustaz Zamri sudah menungguku di rumah." Sebenarnya, Syazwan ingin sekali menggelar Ustaz Zamri dengan panggilan 'Ayah'. Namun, dia masih merasakan bahawa dirinya masih belum layak memiliki ayah seperti itu. Sebaik dan semulia Ustaz Zamri.
......................................................................
Bekalan elektrik yang terputus secara tiba-tiba membuatkan Syazwan sedikit terkejut. Ada keriuhan di luar masjid. Segera dia berlari ke luar untuk mencari puncanya. Di dalam kepekatan malam, terlihat samar-samar akan dua susuk yang sedang bergelut hebat di atas tanah. Segera dia menghampiri susuk-susuk tersebut.
"Pak Mail!" Bisik keras hati kecilnya. Meskipun daya penglihatannya kurang baik, dia masih mampu mengenali susuk itu. Pak Mail sedang bergelut dengan seorang pemuda. Syazwan segera menerkam ke arah pemuda tersebut. Mereka bertiga bergelut di dalam kepekatan malam. Tidak terlihat oleh sesiapapun.
Dengan tidak semena-mena, terpercik darah panas di wajah Syazwan. Dia terkejut dan tergamam. Tatkala itu juga, bekalan elektrik pulih semula. Orang-orang kampung sudah mula memenuhi perkarangan masjid. Pemuda asing yang disyaki cuba mencuri duit tabung masjid segera dikejar. Sudah agak jauh dia melarikan diri.
Pak Mail sudah kelihatan semakin lemah. Syazwan masih lagi terkejut. Ada darah pekat mengalir lewat dada itu. Pekat dan banyak sekali. Syazwan hampir saja pengsan. Dia tidak pernah melihat darah sebanyak itu seumur hidupnya.
"Syazwan!" Dari jauh Ustaz Zamri terhencut-hencut menerpa ke arahnya. Dada Syazwan yang sudah dibelah parang kelihatan begitu ngeri sekali. Syazwan masih lagi terkejut. Wajah tua Ustaz Zamri sudah kelihatan samar-samar pada pandangannya.
"Ayah..." akhirnya, kalimat agung itu keluar dari mulutnya.
"Pak Mail... Pak Mail..." lemah sekali suara itu. Terputus-putus nadanya.
"Astaghfirullahalazim... sabar nak. Mengucap banyak-banyak... mengucap nak..."
Ustaz Zamri sudah bercucuran air mata. Pak Mail juga segera menerpa ke arah Syazwan dengan tenaga yang masih tersisa.
"Wan! Wan! Ampunkan aku, Wan. Aku berdosa! Aku berdosa!" Pak Mail terus merintih tidak berhenti-henti.
Niatnya pada malam itu untuk menangkap Syazwan yang disyakinya akan mencuri lagi berakhir dengan satu pertumpahan darah. Pertumpahan darah yang meragut maut seorang insan mulia. Syazwan yang selama ini dia fitnah dengan bermacam-macam tuduhan telah menjadi penyelamatnya malam itu. Sungguh dia berasa berdosa kerana telah memfitnah seorang jejaka mulia seperti Syazwan. Air mata penyesalannya berlinangan. Pemuda yang kini sudah tinggal nyawa-nyawa ikan itu dipeluknya erat-erat. Tidak dia mempedulikan lagi Ustaz Zamri yang masih cuba menenangkan Syazwan yang sudah hampir menemui ajalnya itu. Dicium-ciumnya kaki Syazwan. Besarnya dosa dirinya terhadap Syazwan sehingga tidak terampun lagi rasanya.
"Ayah..." Syazwan masih mampu berkata-kata walaupun mulutnya kini sudah dipenuhi darah.
Di sebalik kesedihan yang sudah hampir membunuhnya, Ustaz Zamri masih mampu kelihatan tenang. Kepala Syazwan diusapnya lembut. Diciumnya dahi panas itu. Diucapkan kalimah Syahadat di telinga anak muda itu. Syahadat teragung yang terakhir.
Wajah Pak Mail dipandangnya dengan penuh senyuman. Syazwan mengenggam erat tangan Pak Mail. Sungguh dia selama ini tidak pernah berdendam sedikitpun terhadap orang tua itu. Malah, dia sangat hormat akannya. Kasih akannya.
"Ayah..." bisik Syazwan sambil cuba mengumpul nafas-nafas terakhirnya.
"Terima kasih, ayah. Terima kasih di atas segala-galanya." Sudah hampir habis hembusnya.
Syahadat terakhirnya diucap dengan begitu mudah dan lancar sekali. Matanya dipejam perlahan-lahan. Tenang sekali wajah itu. Setenang wajah anak kecil yang sedang diulit mimpi indah. Pak Mail masih menangis di sisi anak muda itu.
Ustaz Zamri tersenyum senang. Senang melihat ketenangan di wajah anaknya itu. Doanya agar Syurga Firdausi menjadi tempat anak mulia itu. Air mata kasih mengalir di matanya. Jatuh di atas pipi cengkung anak muda itu. Gerimis mula membasahi perkarangan Masjid As-Syafie. Seolah-olah sedang menangisi pemergian anak muda tersebut.
-Artikel iluvislam.com
Posted by wanjazmi at 5:01 PM 0 comments
Wednesday, May 4, 2011
~Si Tenggang Homecoming~
si tenggang's homecoming
i
the physical journey that i traverse
is the journey of the soul,
transport of the self from a fatherland
to a country collected by sight and mind.
the knowledge the sweats from it
is estranger's experience,
from one who had learnt to see, reflect
and choose between
the challenging actualities.
ii
its true i have growled at my mother and
grandmother,
but only after having told them my predicament
that they have never brought to consideration
the wife that i began to love in my loneliness,
in the country that alienated me,
they enveloped in their pre-judgement.
i have not entirely returned, i know,
having been changed by time and place.
coarsed by problems
estranged by absence.
iii
but look.
i have brought myself home,
seasoned by faith.
broadened by land and language,
i am no longer afraid of the oceans
of the difeerences between people,
no longer easily snared
no words of ideas
the journey was a loyal teacher,
who was never tardy
in explaning cultures and variousness.
look i am just like you.
still malay,
sensitive to what
i believe is good,
and more ready to understand
than my brothers.
the contents of these boats are yours too,
because i have returned.
iv
travel makes me
a seeker who does not take
what is given without sincerity
or that which demands payment from
beliefs.
the years at sea and in coastal state
have thought me to choose,
to accept only those tested by
comparison,
or that which matches the roads of my
ancestors,
which returns me to my village
and its comppleteness.
v
i've leanrt
the ways of the rude,
to hold actuality in a new logic,
debate with hard and loud facts.
but i too
have humanity, respecting
man and life.
vi
i am not a new man,
not very different
from you;
the people and cities
of coastal ports
thought me not to brood
over a foreign world,
suffer difficulties
or fear possibilities.
i am you,
freed from the village,
its soils and ways,
independent, because
i have found myself.
poem ni adalah kisah benar mengenai penulis asal sajak iaitu MUHAMMAD HAJI SALLEH yg merantau untuk meluaskan pandangan beliau mengenai dunia. beliau telah merantau untuk mencari ilmu dan menjadi pensyarah di universiti di luar negara seperti USA,JEPUN DAN BELANDA.
*kite sume bleh amik iktibar dri kisah ni. sejauh mane pun kite merantau atau berjalan kite seharusnye tidak lupe pada tanah air yg kite kasihi iaitu MALAYSIA Ataupun negeri kelahiran kite. aku masih lagi bangge dgn negeri kelahiran aku iaitu TERENGGANU DARUL IMAN.
Posted by wanjazmi at 8:38 AM 0 comments
~Berhabuk2 Blog Aku~
assalamualaikum...
Ya ALLAH lamenye aku xbkak blog aku..dh berbulan dh aku rase xbkak..tp takpe aku rase aku nk tulis blog ni sokmo lah..
Posted by wanjazmi at 8:26 AM 0 comments
Wednesday, October 13, 2010
Monday, October 11, 2010
nota cinta
NOTA CINTA
Andainya dapat kumenulis
Nota-nota cinta buat diri Nya
Inginku titipkan bersama
Semua kuntuman bunga yang indah berseri
Kusembur haruman mewangi
Bersama kata-kata puji
Sedang Dia tahu kasih dan cintanya aku
Menjalin ikatan menuju ke syurga
Cintaku kepada Dia
Rinduku hanya pada Nya
Kasihku tulus buat Nya
Setiaku balas kasih Nya
Kasihku kasih yang setia pada yang punya
Dambaku pada Yang Esa
Pujian hanya buat Nya
Akurku kebesaran Nya
Teragung Maha Suci Nya
Taatku hamba yang hina pada Pencipta
Cintaku kepada Dia
Rinduku hanya pada Nya
Kasihku balas cinta Nya
Setiaku balas kasih Nya
Kasihku kasih yang setia pada yang punya
Dambaku pada Yang Esa
Pujian hanya buat Nya
Akurku kebesaran Nya
Teragung Maha Suci Nya
Taatku hamba yang hina pada Pencipta
Kiranya aku hilang arah
Jalan hidupku berubah punah
Namun kasih Nya tak pernah akan musnah
Belas rahmat Nnya terus mencurah-curah
Nur hidayah Nya semakin cerah
(3x)
Cintaku kepada Dia
Rinduku hanya pada Nya
Kasihku tulus buat Nya
Setiaku balas kasih Nya
Kasihku kasih yang setia pada yang punya
Dambaku pada Yang Esa
Pujian hanya buat Nya
Akurku kebesaran Nya
Teragung Maha Suci Nya
Taatku hamba yang hina pada Pencipta
Aku suke dgr lagu ni…aku harap sape2 yg rajin bce blog aku ni dpt hayati lirik dan video lagu ni…
Lagu ni bertajuk NOTA CINTA nyanyian SAUJANA.
Wassalam..
~WJS~
Posted by wanjazmi at 2:23 PM 0 comments